iklan penaja

07 August 2011

Daging Merah Charlie suka


Charlie terus menerus berjalan pantas, berlari anak mungkin. Dipastikan kukuh melekat di antara giginya ketulan daging merah yang masih lagi berdenyut, segar. Charlie mahu ke tempat persembunyiannya cepat-cepat sebelum kawan-kawannya yang lain terhidu bau daging mentah yang baru diperolehinya. Biar dia tamak hari ini, benda yang sedap tak elok dikongsi. Lagipun ini hasil usaha dia sendirian, bukan mereka. Habuan ini untuk dia. Setelah tiba di kawasannya, di celah celah lorong antara kedai serbaneka dan rumah urut Charlie melepaskan ketulan daging mentah itu ke atas jalan tar. Charlie menatap tajam daging itu.

Mari kita undur putaran jam sekejap

Charlie terus menerus berjalan pantas, berlari anak mungkin. Dipastikan kukuh melekat di antara giginya ketulan daging merah yang masih lagi berdenyut, segar. Charlie berlari pergi dari kawasan itu. Charlie pantas berlari menyambar ketulan daging merah itu, daging segar yang baru dirobek dari jantung sang perempuan. Lelaki itu kemudian berlalu pergi dengan langkah yang lemah, meninggalkan hatinya yang merah meranum itu,dibiarkan saja di atas jalan tar yang hitam menggerutu. Sang perempuan berlari meninggalkan sang lelaki. Sang perempuan itu merobek dadanya kemudian mencampak ketulan daging merah di hadapan lelaki yang kelihatan sayu itu.

"Kalau kita dah tak sehaluan dan awak tak pernah fikir tentang saya, buat apa lagi kita bersama? Nah amek balik hati awak ni saya dah tak perlukannya lagi! "

Deria Charlie meyakinkan bahawa dia akan mendapat habuan di sini. Di hadapan Restoran Thai kelihatan Sang Perempuan dan Sang Lelaki sedang bertengkar. Langkah Charlie tiba-tiba terhenti di satu kawasan yang berdekatan dengan Restoran Thai. Hampir setengah jam Charlie berjalan dan hampir 6 tempat pembuangan diselongkar masih belum ada rezeki. Charlie terpaksa ke luar kawasannya, biasanya bila berlaku perkara semacam ini, lumrahnya memang Charlie akan keluar jauh sikit, mencuba di kawasan lain. Dia buntu, entah kenapa hari ni susah sangat nak dapat makanan di kawasannya. Biasa nya di tempat pembuangan mesti ada sisa-sisa ayam, daging, tulang, burung, atau paling busuk pun mesti ada tulang ikan. Hampir satu hari suntuk Charlie tak makan. Charli murung dan lemah.

Ok kembali ke putaran asal.

Charlie terus menerus berjalan pantas, berlari anak mungkin. Dipastikan kukuh melekat di antara giginya ketulan daging merah yang masih lagi berdenyut, segar. Charlie mahu ke tempat persembunyiannya cepat-cepat sebelum kawan-kawannya yang lain terhidu bau daging mentah yang baru diperolehinya. Biar dia tamak hari ini, benda yang sedap tak elok dikongsi. Lagipun ini hasil usaha dia sendirian, bukan mereka. Habuan ini untuk dia. Setelah tiba di kawasannya, di celah celah lorong antara kedai serbaneka dan rumah urut Charlie melepaskan ketulan daging mentah itu ke atas jalan tar. Charlie menatap tajam daging itu. Terkenangkan hatinya yang dah lama tiada, dimakan anjing lain barangkali. Lantak lah.

2 comments: